Aku  terima dua email. Dari pengirim yang tidak mahu dikenali. Email pertama  adalah dua keping gambar dan kedua adalah ceritanya. Aku paparkan di  sini kedua-duanya untuk awam menilai dan menafsir sendiri.
KISAH PENGERANG JOHOR DAN LYNAS PAHANG. APA KENA MENGENA ANTARA KEDUANYA ?
| Haji Ghazali Abas | 
Daerah  kecil Pengerang yang selama ini terkenal dengan makanan laut telah  dikejutkan  dengan beberapa isu ekoran dari keputusan kerajaan  persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor untuk membangunkan  kawasan itu dengan pembinaan Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID)  Petronas Loji yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri tidak berapa lama  dahulu.
Projek  yang di anggarkan bernilai hampir 60 billion itu, adalah merupakan  salah satu  dari program pembangunan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi  (ETP) yang terbesar dan termoden di rantau ini. Perdana Menteri ketika  menyampaikan amanatnya kepada 10,000 warga kampus sempena Majlis  Pelancaran Yayasan Sukarelawan Siswa di Universiti Teknologi MARA  baru-baru ini, juga mengatakan selain dari menjana pendapatan ekonomi  negara ia antara lainnya, mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan  kepada rakyat tempatan.
Setiausaha  UMNO Bahagian Pengerang, Haji Ghazali Abas ketika di hubungi mengatakan  majoriti penduduk mengalu-alukan projek pembangunan ini. Selain menjana  pendapatan penduduk yang selama ini bergantung hidup dengan hasil  tangkapan ikan dan pertanian ia juga dilihat mampu untuk memberikan  kehidupan yang lebih selesa dan teratur kepada penduduk kampung yang  terlibat.
"Ia  merupakan satu rahmat kepada penduduk Pengerang dan kepada rakyat Johor  secara keseluruhanya. Pembangkang dilihat cuba mengambil kesempatan di  atas isu ini untuk mewujudkan sentimen  kebencian di kalangan rakyat  dengan mengaitkan pembangunan ini dengan isu Lynas di Pahang. Mereka  juga turut mengaitkan projek dengan kesan radioaktif dan bakal  menyebabkan lelah dan penyakit, khasnya kanak-kanak dan orang tua yang  akan hilang imuniti secara perlahan-lahan dan sebagainya"
Ini  kerana menurut beliau pembangunan ini bukanlah yang pertama kali ingin  dilakukan oleh kerajaan. Sebelum ini negara telah mempunyai hub simpanan  minyak di Terengganu, Melaka dan Johor. Malahan negara jiran seperti  Singapura juga mempunyai hub simpanan minyak seperti ini katanya lagi  ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Keadilan  merangkap Ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Meng.
"Kalau  betul projek ini bahaya, secara logiknya sudah tentu rakyat di negeri  Terengganu, Melaka dan Johor telah tercemar dengan kesan radioaktif dan  mengalami simptom-simptom  seperti yang dinyatakan tadi. Namun ini tidak  berlaku. Oleh itu saya melihat kenyataan itu hanya merupakan sangkaan  jahat untuk mengagalkan projek pembangunan ini" katanya lagi.
Menurut  beliau lagi, baru-baru ini hampir 700 orang wakil kepimpinan dan NGO di  kawasan Pengerang seperti persatuan belia, ketua-ketua blok dari  kawasan Felda, wakil persatuan nelayan, penghulu mukim, ketua-ketua  kampung, pertubuhan wanita dan sebagainya telah hadir untuk berhimpun  secara aman bagi menyatakan sokongan penduduk terhadap pembangunan ini  sekaligus menolak perhimpunan yang mereka adakan pada minggu lalu yang  mana menurut beliau hanya dihadiri sekitar 200 orang.
Beliau  juga mengulas kenyataan yang dibuat oleh Kasran Abdullah yang di  siarkan oleh portal Malaysiakini, kononnya mewakili Jawatankuasa  Bertindak Penduduk-penduduk Pengerang yang mengatakan hampir 96%  penduduk kampung menolak projek ini. Beliau menolak dengan  sekeras-kerasnya kenyataan itu dengan mengatakan ia tidak masuk akal  sama sekali.
Ini  kerana menurut beliau majoriti penduduk yang ditemui langsung tidak  mengetahui atau dimaklumkan mengenai kajian yang kononnya dijalankan  itu. Oleh yang demikian kenyataan itu tidak boleh diterima sama sekali.  Hasil pemeriksaan yang dijalankan juga, mengatakan persatuan yang  dikatakan itu juga adalah merupakan persatuan yang haram kerana tidak  pernah berdaftar secara sah.
Penghulu  Mukim Pantai Timur, Mohamad Khaidir Ismail ketika dihubungi juga  memberikan maklumbalas yang senada dan hampir sama. Beliau menolak  dakwaan yang mengatakan hampir 1600 tandatangan telah berjaya dikumpul  sebagai tanda bantahan untuk menolak projek pembangunan ini.
"Mungkin  ada beberapa isu yang berbangkit yang disuarakan oleh orang kampung,  namun untuk mengatakan majoriti penduduk menolak tidak boleh diterima  sama sekali" katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, ada terbaca mengenai laporan berita dan rakaman perbualan yang dikeluarkan oleh portal yang sama berkenaan kesediaan penduduk kampung dan nelayan untuk berpindah sekiranya tawaran harga yang diberikan memuaskan. Kenyataan itu sekaligus menolak dakwaan majoriti penduduk menolak pembangunan.
Katanya  lagi isu ini harus dilihat dari sudut yang lebih luas dan positif.  Dengan kehadiran projek pembangunan ini ia sekaligus akan dapat  mengurangkan isu kawasan Pengerang yang sering digunakan oleh pendatang  asing tanpa izin sebagai laluan pintu keluar masuk dan aktiviti-aktiviti  penyeludupan dan sebagainya.
Beberapa  laporan polis juga telah dibuat oleh wakil-wakil kepimpinan kampung dan  NGO sebagai tanda bantahan dan menolak pendekatan yang digunakan oleh  pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan dan menghasut penduduk  kampung semata-mata untuk meraih simpati bagi meraih undi, tegas beliau  lagi.
|  | 
| Aduan rakyat. | 
 
 
No comments:
Post a Comment