Blog Archive

Wednesday, October 3, 2012

Archive #81 : Jangan Pisang Berbuah Dua Kali, @NajibRazak Menang Dahulu Tapi Kalah Kemudian Pada @anwaribrahim



Oleh: GreenHood

Barisan Nasional (BN) di bawah teraju YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin boleh bertempik sorak bilamana rakyat rata-ratanya menyambut baik Belanjawan 2013 yang dibentangkan dalam dewan parlimen pada tanggal 28 September yang lalu.

Berbanding agenda Belanjawan Pakatan; Belanjawan Negara 2013 yang diusulkan oleh Najib Razak lebih menarik minat golongan miskin, sederhana mahupun berpendapatan tinggi.

BELANJAWAN BERKEBAJIKAN


Selain gula yang melihatkan pengurangan subsidi kerajaan bernilai 20 sen, pukul rata belanjawan negara benar-benar disasarkan pada golongan yang memerlukan terutamanya keluarga yang punyai anak bersekolah mahupun universiti, serta kumpulan pertengahan yang memerlukan suntikan ‘cash’ bagi menyara diri serta keluarga.

BR1M 2.0 adalah kesinambungan hayat bukan sahaja kepada BN dalam melonjak populariti di saat pilihanraya umum di pinggir waktu, namun tidak dinafikan ianya turut menjadi ‘talian hayat’ kepada kumpulan pertengahan dan miskin terutama menjelang permulaan tahun baru yang kebiasaannya menyaksikan perbelanjaan lebih digunakan untuk persiapan anak-anak menghadapi sesi persekolahan yang baru.

Kita tidak bercakap soal yuran, tetapi kita bercakap soal menyediakan baju, seluar, uniform ko-korikulum, kasut dan sebagainya dan ia bukanlah satu perbelanjaan yang murah.

Menyediakan tempat untuk berbelanja dengan harga yang mampu, KR1M turut sedikit sebanyak membantu kumpulan sasaran dan mewujudkan lebih banyak Kedai Rakyat 1 Malaysia ini juga adalah satu gerakan yang wajar dipuji dimasukkan dalam pembentangan belanjawan oleh YAB Perdana Menteri.

Janji ditepati, itulah yang boleh dimohorkan kepada Najib dan angkatannya bila berjanji dana kepada kumpulan belia sewaktu pelancaran BN Youth Volunteers (BNYV) di menara berkembar KLCC tidak lama dahulu.

Insentif yang diberi kepada kumpulan belia terutama rebat pembelian telefon pintar atau ‘smartphone’ adalah bagi memudahkan pembelian telefon tersebut mengikut gaya muda anak remaja. Ia adalah satu ‘endorsement’ oleh YAB Perdana Menteri kepada kumpulan remaja dan ia secara tak langsung merupakan sebahagian dari janji-janji yang pernah dilemparkan oleh Najib kepada kumpulan ini.

Dengan beberapa contoh di atas, secara peribadi saya katakan bahawa inilah bentuk “Belanjawan Berkebajikan” yang “Ditepati” dan bukan sekadar janji untuk raih simpati terutama menjelang PRU di hujung pintu.




Namun, seperti tahun lepas, pembentangan Belanjawan 2013 ini tidak disekalikan dengan laporan audit negara bagi tahun 2011-2012.

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI


Memecah tradisi menyertakan laporan ketua audit negara (LKAN) berserta dokumentasi cadangan belanjawan negara sewaktu pembentangan, pada tanggal 7 Oktober 2011 yang lalu LKAN didapati hanya diedarkan 17 hari selepas pembentangan dan bahas.

Begitu juga halnya dalam sesi kali ini (Belanjawan 2013). Sekali lagi LKAN tidak disertakan sama.

Ia boleh mengundang berbagai persepsi terutama kepada pihak pembangkang yang ternanti-nanti apakah perbelanjaan yang boleh mereka cungkil kemudiannya menjadi bahan untuk mereka berkempen memburuk-burukkan kementerian tertentu seterusnya kaitan dengan menteri berkaitan.

Kita tak akan lupa bagaimana isu National Feeds Lot (NFC) menjadi senjata utama pihak pembangkang dalam membongkar apa yang dituduh sebagai penyelewengan peringkat tertinggi.

Begitu juga perbelanjaan kementerian-kementerian tertentu seperti kementerian pendidikan dan pertahanan yang acapkali menjadi sasaran yang berhormat ahli-ahli dewan parlimen pembangkang.

Ini seterusnya akan memadamkan kegembiraan rakyat serta tempik sorak BN yang terlalu awal meraikan kemenangan mereka hanya bersandarkan kepada pembentangan belanjawan tetapi mengambil mudah soal ‘actual’ perbelanjaan pada tahun sebelumnya.

Adakah LKAN kali ini akan menjadi senjata utama memakan diri barisan yang berhormat ahli-ahli dewan parlimen BN?

Kita hanya akan ketahui apabila LKAN ini dikeluarkan kelak.

Tuesday, October 2, 2012

Archive #80 : PRK 2012 Perang Persepsi Minda Mahasiswa



Oleh: GreenHood

APA YANG TERHANGAT DI PASARAN?

Sudah pasti jawabnya adalah PRK 2012 atau Pilihanraya Kampus 2012.

UTHM, UiTM, UNISZA, UNIMAP & UTEM adalah 5 universiti yang sudah pun mencapai keputusan muktamad.

Kemenangan besar berpihak kepada kumpulan Aspirasi Mahasiswa dengan UiTM memperoleh 50 kerusi, UNIMEP 31 perolehan kerusi, UTEM 28 kerusi, UNISZA 24 kerusi dan UTHM peroleh 25 daripada 27 kerusi.

5 universiti di atas adalah sebahagian dari 20 universiti yang akan menjalankan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan baki 15 universiti akan mengetahui nasibnya menjelang 25 September ini bila tarikh tersebut telah ditetapkan sebagai tarikh pembuangan undi.




UPSI TURUT BERGAYA DIKUASAI KUMPULAN ASPIRASI MAHASISWA

Namun, awal pagi tadi, UPSI yang sinonim dengan Adam Adli, kononnya ikon pembebasan mahasiswa dari cengkaman kerajaan, telah mengisytiharkan kemenangan bergaya berpihak kepada kumpulan Aspirasi Mahasiswa mengatasi Pro-M yang terkait dengan pakatan pembangkang. 22 kerusi dari 29 keseluruhannya menang tanpa bertanding.

Manakala tumpuan khusus diberikan oleh pemerhati politik kepada 3 universiti ini; UM, UKM dan UIAM.

Ini kerana ketiga-tiga universiti tersebut adalah universiti yang dimenangi oleh Pro-M atau mahasiswa yang pro pakatan pembangkang pada PRK yang lalu. Di sinilah ia terkait dengan pengaruh politik luar.

KAITANNYA PRO-M DENGAN GERAKAN PAKATAN PEMBANGKANG

Melabelkan kumpulan Aspirasi sebagai mahasiswa yang pro kerajaan Barisan Nasional, Pro-M yang pernah diakui oleh Khalid Ismath dalam Twitternya menerima latihan khusus dan intensif dari pemimpin pakatan pembangkang untuk menghadapi kumpulan Aspirasi di atas.

Hingga takat ini, saya telah dimaklumkan bahawa pertempuran sengit berlaku dalam perebutan di UKM, UIAM dan UM.

Di UM, sumber dalaman memaklumkan bahawa kumpulan Penggerak Aspirasi Mahasiswa mendahului 5 kerusi berbanding 2 dari Pro-M yang cenderung kepada pakatan pembangkang.

Di UIAM pula, 4 kerusi dilaporkan diperoleh kumpulan Aspirasi Mahasiswa manakala Pro-M yang terkait dengan gerakan pakatan pembangkang memperoleh 6 kerusi. Kedudukan ini dijangka akan berubah dan ini sedikit sebanyak memberi kelebihan moral kepada kumpulan Aspirasi Mahasiswa yang hanya memperoleh 3 kerusi sahaja dalam MPP yang lalu.

STRONGHOLD GERAKAN PAKATAN PEMBANGKANG ADALAH UKM

Sebaliknya, UKM menonjolkan kelebihan berganda kepada Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) yang merupakan aliran Pro-M terkait rapat dengan gerakan pakatan pembangkang. Pada peringkat penamaan calon sahaja, mereka telah mengatasi kumpulan Aspirasi Mahasiswa dengan kelebihan 7 kerusi tanpa bertanding.




Gerakan-gerakan GMUKM yang pro pakatan pembangkang ternyata mempunyai kelebihan dari segi gerak-kerja yang tersusun dan kemas. Ini adalah suatu yang tidak mustahil jika dilihat kepada kedudukan geografi UKM induk yang berpusat di Bandar Baru Bangi. 


Ianya adalah kawasan yang dilindungi oleh beberapa nama kuat pemimpin pakatan pembangkang seperti YB Dr Shafie Abu Bakar. Bahkan, bekas Timbalan Presiden PAS, YB Nasharuddin Mat Isa serta Dato Dr Harun Din adalah bekas pengajar di UKM serta pengaruhnya amat besar di UKM mahu pun Bangi.



SILENT MAJORITY

Sebenarnya, majoriti mahasiswa yang dikenalpasti di UKM dan UM (dan saya yakin di mana-mana universiti sekali pun) adalah terdiri dari mahasiswa yang tidak begitu ambil peduli tentang politik luar. Mereka berada dalam universiti yang dipenuhi alam pembelajaran dan alam remaja yang meningkat dewasa.

Bagi mereka, untuk lulus dengan cemerlang dalam setiap ujian mahu pun peperiksaan adalah perkara utama. Bagi mereka, berpacaran dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan sekuliah dalam bentuk ‘brotherhood’ juga merupakan perkara yang utama.

Jadi, apabila mereka disuakan dengan perkara mengenai politik terutama politik luar, ia adalah suatu yang menjengkelkan. Namun kelebihan berpihak kepada pihak yang mampu meniupkan semangat ‘panas’ remaja dengan perkara-perkara yang dibenci contohnya mengaitkan sebilangan pihak dengan politik jijik.

Demikian itu, modus operandi GMUKM yang utama adalah dengan mengaitkan kumpulan Aspirasi Mahasiswa dengan parti tertentu contohnya UMNO. Melaungkan slogan UMNO KAMPUS dalam meniupkan kebencian begitu mudah dilakukan tanpa membuktikan dengan sepenuh bukti. Mengaitkan Aspirasi Mahasiswa dengan teori konspirasi tertentu juga amat mudah dilakukan.




Jika kumpulan Aspirasi gagal menghalang persepsi yang dibentuk di atas, maka gagallah mereka keseluruhannya menolak kaitan mereka dengan kerajaan Barisan Nasional sedangkan pada masa tuduhan itu dilemparkan, GMUKM turut terkait dengan Pro-M yang terang lagi bersuluh adalah soldadu yang dilatih secara terancang dan tersusun oleh pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang.

Di sini, silent majority bakal terpengaruh dengan perlawanan persepsi siapa yang lebih terkesan; Kumpulan Aspirasi Mahasiswa kah atau GMUKM yang pro kepada pakatan pembangkang?

Mari saksikan kebenaran di sebalik persepsi dalam klip video di bawah ini... anda nilaikan!





(Penulis merupakan penulis jemputan dari laman portal www.kritis-online.com)

Archive #79 : Aidilfitri, #Merdeka55 @NajibRazak & Model Terlampau





Oleh: GreenHood

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar walillahilham

Umat Islam Malaysia masih dalam bulan perayaan Aidilfitri bagi tahun hijrah 1433. Syawal dalam kalendar Islam merupakan bulan ‘pembebasan’ dari perkara-perkara yang membatalkan puasa sewaktu Ramadhan.

1 Syawal adalah hari ‘kemenangan’ umat Islam bukan sekadar perkara-perkara yang membatalkan puasa serta menahan hawa nafsu, lapar dan dahaga bahkan merupakan hari kembalinya fitrah manusia kepada kesucian diri dan bangkit tampil sebagai manusia yang sebaik-baik kejadiannya.
Aidilfitri juga turut disebut sebagai nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah, kata nama lain bagi Aidilfitri adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadhan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.


Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.
Ironinya, bulan kemerdekaan umat Islam bagi tahun hijrah 1433 ini mencakupi hari kemerdekaaan negara kita Malaysia pada tanggal 31 Ogos yang lalu.

Mengajak seluruh rakyat Malaysia kembali bersatu adalah objektif utama sambutan kemerdekaan negara menolak jauh perbezaan pendapat terutamanya politik.

Melakukan huru-hara dengan berbagai definisi ‘merdeka baru’ adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggung jawab. Ia tidak ubah seperti 1 Syawal yang disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi pertelingkahan yang memecahkan kesatuan umat Islam dalam hubungan sesama manusia yang dituntut oleh agama.

Justeru, kesediaan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk bertemu keluarga serta memaafkan perbuatan terlampau individu tertentu sewaktu malam menjelang kemerdekaan negara adalah perbuatan terbaik yang dituntut oleh agama terutama sewaktu umat Islam masih lagi dalam meraikan bulan perayaan utama umat Islam di Malaysia ini.

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar la illaha illallahu wallahuakbar
Allahuakbar walillahilham

Saya kira, masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin’.