Column by: GreenHood
Apabila Haji Abdul Hadi Awang bermain kata-kata “jadilah ikan yang bijak...” sebenarnya beliau memberikan definisi yang tepat.
Tetapi, definisi ‘ikan bijak’ bukanlah 17,683 pengundi N.01 Kuala Besut. Sebaliknya, ‘ikan bijak’ adalah jentera Pas sendiri yang diketuai oleh Husam Musa.
Ayat-ayat lazim Pas seperti “mereke (BN) beri kita ambil, undi tetap pada kita (Pas)” sudah terlalu klise.
Kebijaksanaan Pas hadir setelah bekerjasama dengan rakan pakatannya, dan dalam konteks pilihan raya kecil (PRK) N.01 Kuala Besut ini, adalah bila berjaya mendesak pihak lawan (BN) dengan pembongkaran demi pembongkaran masalah setempat Kuala Besut seperti isu pemberian tanah, petempatan nelayan miskin, masalah ombak besar dan banjir, masalah pemberian lesen nelayan laut dalam dan sebagainya hingga BN mampu menjanjikan sejumlah RM377.45 juta nilai ‘projek segera’ kepada penduduk Kuala Besut.
BN terpaksa menjanjikan projek demi projek kepada N.01 Kuala Besut kerana mahu mendapatkan undi dan demikian itu harus menutup kelemahan-kelemahan yang bertahun tidak diendah tetapi kini diselesaikan dengan ‘sekelip mata’ sahaja.
Akhirnya, jentera Pas hanya perlu memastikan ‘mengaut hasil keuntungan’ dengan mengatakan bahawa desakan mereka adalah penyumbang kepada turunnya ‘durian runtuh bernilai RM377.45 juta’ tersebut dan oleh yang demikian, sebagai tanda bahawa suara mereka sebagai pendesak dihargai, adalah wajar 17,683 pengundi N.01 Kuala Besut memberikan undi kepada mereka (Pas).
Tidak terhenti di situ, “kempen 16:16 Terengganu Baru” disumbatkan kepada para pengundi N.01 Kuala Besut sebagai satu iltizam mereka (Pas) untuk bekerja keras memastikan suara mereka (Pas) kononnya mewakili suara rakyat akan didengari di dalam dewan undangan negeri kelak justeru hasilnya akan dinikmati oleh rakyat Terengganu sebagaimana N.01 Kuala Besut kini mula merasai nikmat ‘durian runtuh bernilai RM377.45 juta’ di atas, sekiranya sasaran 16:16 berjaya dicapai.
Jadi, siapakah ‘ikan bijak’ yang berjaya menaikkan kegeraman ‘sang pengail’ bila berjaya menghabiskan umpan tetapi ‘ikannya’ tidak sangkut di mata kail?
Adakah ‘sang pengail’ akan terus-terusan ‘mengumpan’ dengan berbagai jenis ‘umpan mahal’ bagi memancing 17,683 pengundi, atau sebenarnya sedang dimainkan oleh ‘ikan nakal’ bernama ‘jentera Pas’ ?